Kongsi Sampai Orang Ucap Terima Kasih

Saya beri 2 situasi dan keadaan. Cuba anda tentukan perbezaannya.

Siti rajin berkongsi dengan menulis pengalamannya di blog. Dari resepi memasak, cara buat kek sedap dan juga berkongsi pengalamannya menggunakan produk A dan produk B. Semua ini dikongsikan oleh Siti dalam blog. Siti menggunakan medium blog.

Jefri pun tahu platform blog ni. Dia ‘bijak’ sebab pandai menggunakan platform blog untuk membuat duit. Caranya? Jefri akan cari konten popular dan dapat tarik trafik pelawat yang tinggi. Dari berita sensasi, gambar seksi, dan macam-macam lagi. Yang penting trafik datang bertubi-tubi. Katanya barulah poket berisi. Untuk keselamatan dari kena maki, Jefri guna akaun palsu sebagai identiti.

Apa yang anda perasan?

Kedua-duanya Siti dan Jefri gunakan platform blog untuk misinya. Untuk watak Siti biasanya orang akan gelarkannya blogger.

Tapi macam mana dengan Jefri? Bloggerkah dia?

Saya sering mendengar dari pihak-pihak luar yang mengatakan Blogger ni kerjanya memfitnah dan menipu. Saya jadi keliru.

Terus saya terbayang rakan-rakan blogger saya. Adakah mereka ni menipu? Setahu saya mereka hanya buat kerja sebagai blogger. Review produk, makanan, restoran, percutian dan info-info yang berguna untuk ramai orang.

Di mana penipuannya?

Kemudian baru saya teringat yang sebenarnya mereka yang mengatakan blogger ni menipu dan menyebarkan fitnah adalah merujuk kepada blog-blog sampah yang menjadi hamba duit di facebook.

Kenapa saya cakap camtu?

Saya sendiri tak tahu siapa pemiliknya blog-blog tu.

Modus operandinya tetap sama dari memanipulasi Google Adsense dan yang terbaru ni Facebook Audience Network (FAN). Mereka akan tarik trafik dengan apa cara sekalipun untuk ke blog mereka. Mereka tarik perhatian pembaca dengan headline clickbait. Yang penting pelawat masuk blog mereka.

Kemudian apa?

Kemudian mereka akan  memperdaya pelawat untuk klik pada iklan. Belum lagi yang iklan popup muncul kiri kanan atas bawah. Popup ni pula kalau ditutup, muncul popup baru.

Di mana yang dikatakan menipu?

Pernah tak jumpa artikel “Kami beli Wang Kertas RM1 dengan harga RM22,000.00”?

Gambar ini telah disalahgunakan untuk tujuan clickbait

Gambar pakcik ni cukup popular di Facebook dek kerana ramai orang share artikel yang kononnya ramai nak beli wang kertas RM1.

Maunya orang tak share. Mestilah orang yang ada wang kertas RM1 ni melompat kegembiraan dan rasa nak tahu bagaimana cara nak jual wang kertas RM1 tu, siapa yang nak beli? Macam mana nak hubungi pembeli? dan macam-macam lagi.

Itu satu contoh yang bagi saya cukup popular untuk menipu pelawat demi mendapatkan trafik di blog. Belum lagi artikel yang tajuk lain tapi isi kandungannya lain. Artikel yang menggunakan gambar seksi dan cerita lucah juga boleh memancing pelawat.

Hasilnya trafik yang beribu lemon.

Ini semua trafik sampah! Trafik ni cuma jadi alat kepada puak-puak ni untuk duit semata-mata. Pelawat menjadi alat untuk mereka mendapatkan duit. Sayang sekali tiada sebarang manfaat yang pelawat dapat dari aktiviti ini.

Inilah bahan yang hidangkan kepada masyarakat demi kepentingan poket sendiri.

Lepas tu bising kata masyarakat kita masih lagi minda kelas ketiga. Tengoklah sendiri apa yang dihidangkan. Jangan salahkan masyarakat yang terpengaruh tapi salahkan diri yang membekal bahan sampah.

Nampak tak kepentingan peranan blogger? Bukan blogger jadi-jadian ye.

Saya sendiri tak pasti bila nak pupus puak (Blogger jadian) ni. Mereka pintar, mereka kreatif. Tapi disebabkan duit, mereka abuse sistem pengiklanan yang disediakan, mereka menipu untuk kepentingan diri. Mereka menjatuhkan kredibiliti blogger sebenar.

Saya pernah kongsikan sebelum ni, jangan jadikan duit sebagai topik utama sekiranya nak berblogging. Nanti endingnya diri sendiri akan penat, lepas tu terus berhenti. Tiada passion.

Saya tak nak ulas keberkatan rezeki yang diterima. Itu masing-masing punya isu.

Untuk entry kali ini saya bukan nak berkongsi berkaitan cara buat duit. Saya nak tekankan berkaitan perkongsian.

Bagi mereka yang dah ada blog, cuba periksa balik blog masing-masing. Berapa banyak perkongsian bermanfaat yang pernah kita buat?

Kita ni kalau berkongsi di blog, alang-alang berkongsi biarlah beri manfaat kepada pelawat. Kalau nak buat artikel viral, biarlah sesuatu yang boleh bagi faedah kepada pelawat.